Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan
undian di kalangan isteri-isterinya. Undian tersebut dikeluarkan kepada
isteri-isteri baginda. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar
bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat
undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan
perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama
Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku
dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di
atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah
Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat
buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja
tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang
sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai
membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Tatakala aku
menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik
Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi
mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara
itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas
unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada
di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya
ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka
hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para Sahabat tidak terasa berat
ketika membawa serta mengangkat Haudaj.Apatah lagi aku pada waktu itu seorang
gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka
bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat
perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana.
Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar
kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa
mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin al-Muattal as-Sulami
az-Zakwani telah ditinggal oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal
malam hinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia
terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang
tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab
diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya ketika dia mengetahui bahawa
aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah!
Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya
walaupun sepatah selain ucapannya sehinggalah dia meminta aku menunggang
untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan
berpijak ditangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah
kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana
panas terik. Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya
iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit
di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang
menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak
mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah
aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya kurasakan
ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian
bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah
kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur
sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah
tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar
pada waktu malam. Keadaan ini berterusan hinggalah kami membina tandas
berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas
untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di
bina berhampiran dengan rumah kami. Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah
binti Abu Ruhmi bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin
bin Amir ibu saudara Abu Bakar as-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin
Usaasah bin Abbad bin al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku
berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu
Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku
berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam
peperangan Badar. Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau
mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan?
Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong.
Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah
Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian
bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku
berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita
tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah
s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana,
aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai
mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah
berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya
dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang
dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah
sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku? Aku terus menangis pada malam
tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga
pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa
ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk
membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan.
Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan
Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil
berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa
yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan
kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan
pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul.
Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah
(pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat
sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang
mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya
aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang
sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang
ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. Saidatina Aisyah berkata:
Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk
membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul.
Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah:
Wahai kaum muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup
melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan.
Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa
dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali
bersamaku. Lalu Saad bin Muaz al-Ansari bangun berkata: Aku yang akan
menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus
aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami
daripada golongan Khazraj , perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan
segala perintahmu itu. Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut
lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang
yang salih tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab
kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya
dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz
bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan
membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka
terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka
hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di
atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka hinggalah
mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata:
Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti
mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu
bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku.
Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin
menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk
sambil menangis. Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w
masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata:
Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku
sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai
keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah
Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai
cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah,
Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah,
pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepadaNya kerana
sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya
Allah pasti akan menerima taubatnya. Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja
Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa
air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah
s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku
tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku
berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga
menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada
Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak
banyak membaca al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar
semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian
mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah,
Allah lah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak
mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan,
Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan
mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak punyai contoh yang tepat untuk aku dan
kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: Yang
bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah
yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu. Saidatina
Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku.
Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak
bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi
Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku
kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t.
Namun begitu aku mengharapkan agar
Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku
dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak
beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan
keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi Nya,
baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan
mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang
diturunkan kepada baginda. Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah
s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut
ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah
membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah
s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku
hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat
al-Quran menyatakan kebersihanku.
Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang
yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu)
sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang
menyatakan kebersihanku. Saidatina Aisyah berkata: Lalu Saidina Abu Bakar
orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah
salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata:
Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia
menfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah
s.w.t menurunkan ayat Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta
serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan
kepada kaum keluarga hinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu. Hibban bin Musa
berkata: Abdullah bin al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku
harapkan dalam Kitab Allah. Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan
keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah
sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah
kepadanya. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab
binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui
atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga
pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah
kebaikan. Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi
s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak
berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang
turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang
celaka!HR- Bukhari
Dipetik dari Islamic Link