PAS sahaja wadah realisasi martabatkan Islam

DR HASSAN ALI SERTAI PAS

Oleh NUR ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Forum Perdana yang dikenali dengan kepetahannya, Dato' Dr Hassan Haji Mohd Ali telah menyertai PAS baru-baru ini.

Beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dalam satu majlis pertemuannya dengan beberapa orang pimpinan PAS Pusat di pejabat PAS, Jalan Pahang Barat, dekat sini Selasa lalu.

Turut hadir pada pertemuan itu, Naib Presiden PAS, Haji Mustafa Ali dan AJK Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Dato' Dr. Hassan Haji Mohd Ali berumur 51 tahun dilahirkan di Kelang, Selangor Darul Ehsan merupakan lulusan pengajian Menengah atas dari Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya menyambung pangajian di Universiti Malaya dan lulus Ijazah Pertama dengan mendapat kepujian kelas Dua Atas.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Dato' Dr. Hasan menyertai perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir dan diplomatik.

Semasa dalam perkhidmatan, beliau telah bertugas di beberapa kementerian dan jabatan seperti bahagian kabinet Jabatan Perdana Menteri, Pentadbiran Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Selangor, Kementerian Tanah dan Galian, Unit Penyelidikan Sosial Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (Seru), Institut Pentadbiran Awam Negara (Intan), Biro Tata Negara dan Unit Perancangan Am Jabatan Perdana Menteri (GPU).

Dato' Dr. Hassan menyambung pengajian diperingkat Sarjana (Master's Degree) di Universiti of Pittsburg, USA dan peringkat Kedoktoran Falsafah (PhD) di Universiti of Wisconsin, USA dalam jurusan Sains Pengurusan bandar.

Di sepanjang kariernya, beliau terlibat secara langsung dengan pelbagai program pembangunan organisasi dan institusi kerajaan dan separa kerajaan.

Di peringkat masyarakat luar, beliau telah menjadi pelopor kepada beberapa program pembentukan budaya cemerlang seperti 'Summer Camp', 'Smart Learning', 'Possitive Parenting' dan sebagainya di seluruh negara termasuk di beberapa negara jiran.

Beliau yang telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku di bidang itu juga begitu aktif menyertai rancangan-rancangan radio dan televisyen dalam pelbagai saluran.

Dato' Dr. Hassan telah meninggalkan perkhidmatan kerajaan sejak 12 tahun yang lalu dan kini berkhidmat sepenuh masa sebagai Perunding Khidmat Pengurusan Korporat untuk badan-badan korporat antarabangsa yang berpengkalan di Malaysia dan syarikat-syarikat tempatan.

"Keputusan untuk menyertai PAS didorong atas rasa kesedaran dan keinsafan bahawa hanya PAS sahajalah satu-satunya wadah yang dapat merealisasikan cita-cita untuk melihat Islam dimartabatkan dalam segenap aspek kehidupan insan.

"Dengan izin Allah, saya akan menggunakan sisa-sisa umur yang ada ini untuk membantu secara aktif termasuklah membangunkan negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam serta mewujudkan sebuah masyarakat yang diredhai oleh Allah SWT," katanya kepada Harakah.

Selain itu, beliau berhasrat untuk membantu dalam melahirkan pemimpin pelapis yang bersedia mempertahankan kesucian Islam, kemerdekaan dan kedaulatan negara menjelang alaf yang akan datang seterusnya generasi pengganti yang akan menentukan keberlangsungan sistem yang berpaksikan kepada Islam.

Laman Utama