MAHLIGAI PM HAMPIR SIAP
Beliau berkata demikian ketika mengulas pembinaan mahligai Perdana Menteri di Putra Jaya yang disiarkan Harakah sebelum ini. Sementara itu, Mahligai Perdana Menteri yang terletak di kawasan penempatan Putra Jaya hampir siap pembinaannya. Mahligai ini tersangat indah dengan kubah yang diperbuat dari marmar di tengah-tengahnya beratapkan hijau keseluruhannya melambangkan citarasa pemiliknya. Menurut maklumat, mahligai ini dijangka akan mula didiami oleh Perdana Menteri sebagai kediaman rasmi beliau yang baru selepas Sri Perdana, mulai Mac atau April depan. Di samping mempunyai kubah, mahligai ini mempunyai satu tapak pendaratan helikopter di atasnya di samping menara kawalannya tersendiri. Bangunan ini juga dihubungkan dengan satu menara pemancar yang terletak di luar bangunannya. Menurut pakar-pakar, tingkap mahligai ini dibina dari marmar yang diimport khas dari Morocco di samping beberapa bahagiannya yang diimport khas dari Itali. Di samping itu, mahligai ini juga mempunyai binaan bawah tanah di samping terowong bawah tanah untuk kegunaan tertentu. Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, belanja pembinaan mahligai ini hanya RM17 juta sahaja tetapi bekas Menteri Kewangan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendakwa, belanjanya kira-kira RM200 juta. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan Dewan Bunga Raya di KLIA yang dikhaskan untuk persinggahan tetamu terhormat (VVIP) yang bernilai RM80 juta, nilai RM17 yang diberikan oleh kerajaan amat tidak munasabah berdasarkan binaannya. Ketika awal pembinaannya, Harakah telah menyiarkan kerangka mahligai ini. Ekoran itulah, perbahasan mengenai belanja pembinaannya telah rancak berjalan. Menurut Ketua Pengarang Kumpulan NST, Dato' Kadir Jasin, pembinaan mahligai ini wajar kerana bukan untuk Dr Mahathir tetapi untuk Perdana Menteri namun ramai tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu. "Buat apa kita bina mahligai hebat-hebat ketika rakyat diminta mengikat perut akibat kemelesetan ekonomi, rakyat di Kubang Pasu masih ada yang menderita tanpa rumah yang sempurna serta penghuni rumah setinggan terus gelisah kerana rumah mereka bakal dirobohkan pada bila-bila masa," kata satu pandangan. |