Tafsir
Al-Quran Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang Tafsir Surah An-Nisa' ayat 84
Nikmat perjuangan IslamWahai orang-orang yang beriman! Kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah termasuk mengadakan hukum hakam untuk panduan hidup dan kasihan belas-Nya terhadap kamu, tentulah kamu menjadi pengikut-pengikut syaitan yang menyesatkan dan menjahamkan aqidah melainkan sedikit sahaja di kalangan kamu. Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: "Oleh itu, perangilah (wahai Muhamad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh), tidaklah engkau diberati selain daripada (kewajipan)mu sendiri. "Dan berikanlah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah amat besar kekuatan-Nya dan amat berat pula balasan azab siksa-Nya." (Surah an-Nisa': 84) Ayat ini memberi perangsang kepada Rasulullah s.a.w. supaya berjihad meninggikan agama Allah SWT. Ayat ini juga menunjukkan bahawa seseorang mukmin itu hendaklah menanggung bebanan menentang orang-orang musyrikin walaupun terpaksa mengorbankan dirinya sendiri. Hal demikian jika disoal, adakah dia membinasakan dirinya sendiri? Jawabnya ialah tidak kerana berkorban meninggikan agama Allah mendapat kelebihan dari Allah walaupun kelihatan pada zahirnya dia mati dibunuh, menerima berbagai-bagai kesusahan dan kepayahan. Disebut di dalam hadith bahawa Rasulullah s.a.w. menyatakan kesediaannya bagi menegakkan agama Islam walaupun tinggal seorang diri. Di peringkat awal perjuangan Islam Rasulullah s.a.w. berseorang berdepan dengan seluruh manusia sebelum disertai oleh para sahabatnya dan telah membuktikan kesungguhannya di dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud: "Berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman." (Surah an-Nisa': 84) Rasulullah s.a.w. bangun pada hari Peperangan Badar, membetulkan saf-saf di medan perang dan bersabda yang bermaksud: "Bangunlah kamu berjuang menuju kepada syurga yang luasnya segala langit dan bumi." Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan, adalah menjadi hak kepada Allah untuk memasukkannya ke dalam syurga sama ada dia berhijrah pada jalan Allah atau duduk di kampungnya di mana dia dilahirkan (dalam keadaan tidak berjuang pada jalan Allah)." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Bolehkah kami sebarkan khabar gembira ini kepada orang ramai?" "Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga itu 100 darjat yang disediakan oleh Allah kepada orang-orang yang berjihad pada jalan Allah (ianya tidak diberi kepada orang yang tidak berjihad) di mana jarak antara satu darjat dengan satu darjat yang lain perbandingan jauhnya antara langit dan bumi. "maka apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah Syurga Firdaus, sesungguhnya Firdaus itu berada di tengah-tengah syurga dan setinggi-tinggi syurga, di atasnya Arasy Tuhan Yang Rahman dan daripadanya terpancar sungai-sungai yang mengalir di dalam syurga." |