Tazkirah
Oleh
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

 

Islam mengangkat taraf wanita

SHAHIFAH MADINAH' telah menggariskan peraturan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak kehormatan, sehingga apabila mereka itu mengambil seseorang diletakkan di bawah perlindungannya, maka pihak lain sama ada orang besar yang mempunyai kedudukan atau orang bawahan sebagai rakyat biasa, tiada hak untuk menggugat dan menjejaskan kehormatan orang yang dibawah lindungan orang Islam itu. Hak memberi perlindungan itu berkuatkuasa. selagi kehormatan orang yang menjadi plindung masih diiktiraf.

Bagaimanapun adalah dilarang bagi seorang muslim memberikan perlindungan kepada orang yang menimpakan mudharat atau membuat khianat kepada orang Islam, misalnya melindungi pengintip (jasus) yang bekerja mengumpul maklumat keselamatan, bagi kepentingan pihak musuh Islam atau musuh negara Islam. Melindungi pengkhianat bererti bersubahat dengan kejahatan musuh itu.

Sesungguhnya aku telah memberi perlindungan kepada orang yang engkau beri perlindungan, wahai Ummu Hani.

Hak bagi melindungi orang Islam ialah hanya dengan bilangan tertentu sahaja, serta dalam tempoh tertentu iaitu tidak melebihi dari empat bulan. Demikianlah kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh ahli fuqaha atau ahli perundangan Islam.

Berlaku di zaman Nabi s.a.w. peristiwa di mana seseorang wanita telah memberikan perlindungan kepada seseorang, perbuatan itu telah dipertikai oleh saidina Ali r.a.. Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan sebuah hadith yang menjelaskan bahawa Islam telah meletakkan tanggungjawab yang sama mengenai memberi perlindungan, sama ada lelaki atau wanita. Cerita itu ialah mengenai sepupu Nabi s.a.w. bernama Ummu Hani binti Abu Talib, beliau telah menemui Nabi s.a.w. ketika tahun jatuhnya Kota Makkah ke dalam kekuasaan Nabi dan umat Islam. Ketika itu Ummu Hani telah memberi perlindungan kepada seseorang, tetapi saidina Ali bin Abu Talib pula hendak membunuh orang yang dibawah perlindungan Ummu Hani itu.

Saidina Ali tidak setuju dengan tindakan saudara perempuannya memberikan perlindungan kepada seseorang, beliau cuba hendak membunuhnya. Ummu Hani menyanggah tindakan saudaranya itu lalu beliau mengadukan hal tersebut kepada Nabi s.a.w.. Bagi mengatasi pertikaian itu Nabi s.a.w. bersabda kepada Ummu Hani: "Qad ajarna man ajarti ya Umma Hani" yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah memberi perlindungan kepada orang yang engkau beri perlindungan, wahai Ummu Hani.

Berdasarkan sabda Nabi s.a.w. itu menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. menyokong tindakan Ummi Hani yang telah memberi perlindungan kepada seseorang yang wajar mendapat perlindungan. Ummu Hani seorang muslimah yang berwibawa dan mempunyai hak untuk melindungi seseorang yang difikirkan patut mendapat perlindungan darinya, supaya orang itu aman dari sebarang gangguan atau ancaman.

Hak perlindungan itu tetap diiktiraf walaupun yang memberi perlindungan seorang wanita seperti Ummi Hani. Dalam hal hak memberi perlindungan, tidak ada bezanya antara lelaki dan perempuan. Apabila seseorang itu telah diberi perlindungan ole seorang muslim atau muslimah, maka tiada pihak yang boleh mempertikaikan tindakan itu, apatah lagi untuk mendatangkan sebarang gangguan terhadap orang itu, kecuali orang yang dilindungi itu orang jahat atau pengkhianat. Hadith Nabi s.a.w. itu juga menunjukkan bahawa Islam memberikan pengiktirafan kepada wanita, sedangkan kaum wanita di zaman jahiliyyah tarafnya begitu rendah, menjadi barang dagangan dan juga barang permainan untuk memuskan nafsu. Kedatangan Islam telah memberikan taraf yang begitu mulia, sehingga mana-mana orang yang mendapat perlindungan dari seorang wanita, maka keselamatannya terjamin. Jaminan keselamatan perlindungan itu sama seperti di bawah lindungan seorang lelaki, sesiapapun tidak berhak untuk mengganggu gugat orang yang dalam perlindungan wanita muslimah itu.

Fakta sejarah itu juga telah memperakui kedudukan wanita yang mendapat taraf yang sama sebagaimana kaum lelaki mendapat taraf dalam masyarakat. Suatu pengiktirafan yang belum pernah berlaku dalam mana-mana tamadun manusia sebelum itu.

Bagaimanapun persamaan taraf bagi wanita muslimah dengan kaum lelaki yang diakui oleh Islam itu, tidak sama dengan persamaan hak yang dituntut dan dilaung-laungkan oleh golongan wanita barat yang masih kedengaran hingga kini.

Perbezaannya adalah terlalu ketara, di mana wanita Islam tidak pernah menuntut persamaan hak itu, kerana Allah SWT telah memberinya hak persamaan itu tanpa diminta. Islam di datangkan adalah bertujuan untuk mengangkat martabat manusia sama ada lelaki mahupun wanita, sedangkan wanita barat tidak memperolehinya kecuali setelah mereka bangun berontak melalui pelbagai pertubuhan untuk menuntut persamaan itu. sehingga kinipun laungan tuntutan mereka masih kedengaran, membayangkan bahawa wanita barat masih tidak berpuas hati dengan apa yang telah mereka perolehi.

Sesungguhnya syariat Allah SWT itu memberikan persamaan yang begitu cermat, bertegak atas fitrah kemanusiaan. Bertujuan untuk memberikan kebahagiaan kepada manusia sama ada lelaki atau wanita, sama ada secara individu atau beramai-ramai. Wanita Islam mendapat persamaan yang dianugerahi Allah SWT, dari segi untuk membina sifat taqwa kepada Allah. Mereka mendapat persamaan hak untuk mendapat ganjaran pahala, dari sifat taat mereka kepada Allah.

Mereka mempunyai peluang yang sama untuk mencapai keredhaan Allah, dalam usaha mereka untuk menghindari neraka Allah dan seterusnya memasuki syurga-Nya.

Sedangkan tuntutan persamaan hak yang dibuat oleh para pejuang wanita barat lebih didorong oleh nafsu kebinatangan, melampaui batas kewanitaan yang bertujuan di sebalik itu menjadikan kaum wanita sebagai bahan hiburan dan keseronokan bagi memuaskan naluri jantina. Persamaan hak yang mereka tuntut atas asas kebebasan yang tiada batas, natijah dari perjuangan yang melam-pau itu telah menda-tangkan akibat buruk kepada masyarakat barat.

  Ke Laman Utama