Saudara Pengarang,
SAYA ingin menyatakan kekesalan saya di atas mesej yang disampaikan
melalui
filem 'Perempuan Melayu Terakhir'. Secara disengajakan atau tidak,
filem ini
memberi gambaran yang negatif tentang masyarakat Islam di Malaysia.
Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki Melayu yang ingin mencari
identitinya, tetapikemudiannya bertemu dengan wanita yang kononnya
cuba
memelihara nilai-nilai keMelayuan yang semakin hilang. Kebetulan pula,
wanita
ini bertunang pula dengan seorang 'fanatik' Islam. Keadaan sebegini
tentunya
mengundang pelbagai konflik.
Saya kecewa kerana filem ini terus menampilkan watak stereotype 'ekstremis
Islam'. Ia menggambarkan seolah-olah muslimin yang mengamalkan cara
hidup
Islam sentiasa cenderung ke arah keganasan dan kebencian. Apatah lagi
watak
tersebut dikatakan baru pulang dari luar negara, membayangkan satu
lagi imej
negatif bagi pergerakan pelajar Islam.
Lebih menggusarkan, apabila watak ekstremis tersebut cuba menghalang
pelakuan
maksiat oleh watak lain, akan timbul dialog yang menghujah bahawa Islam
adalah
agama yang toleran dan umat Islam tidak boleh mengadili orang lain.
Ada kalanya, watak ini nampak melucukan apabila dia bertapa di atas
pokok dan
menghunuskan pedang. Saya sendiri pernah bergiat dalam pergerakan pelajar
Islam dan rakan-rakan saya kini berjaya menjadi peguam, jurutera, pendidik
dan
sebagainya.
Kami tetap menyemai nilai-nilai Islam kepada keluarga dan masyarakat,
tetapi
tidak pula menyebarkan kebencian dan kemarahan. Jelaslah, pembuat filem
ini
tidak cuba mendampingi pergerakan Islam yang sebenarnya.
Pada pendapat saya, hukum Islam usah dikelirukan dengan isu lain. Hukum
tentang pergaulan bebas antara bukan mahram serta mendedahkan aurat
telahpun
disebut di dalam al-Quran. Seseorang yang cuba menegakkan hukum Islam
tidak
perlu digambarkan sebagai fanatik dan angkuh.
Pada saya, filem ini mengecewakan umat Islam yang kini menerapkan nilai-nilai
Islam dalam kehidupan harian mereka, tetapi tidak mengabaikan tuntutan
ilmu
dan kemajuan. Golongan berpendidikan tinggi kini tidak lagi seperti
watak
stereo type di dalam filem tersebut, yang mana mereka terlalu kebaratan
dan
jahil.
Bahkan tokoh-tokoh seperti Dr. Hassan Ali menjadi contoh bahawa Islam
itu
sendiri menyeru kepada kejayaan. Watak 'perempuan Melayu' itu sendiri
lebih
mengundang kekeliruan. Apakah seorang wanita itu hanya dianggap 'Melayu'
jika
sentiasa berpakaian kebaya dan pandai mempersembahkan
tarian tradisional?
Lebih membimbangkan, wanita tersebut sering dikuasai oleh pergolakan
nafsu
hingga mendorongnya melakukan perbuatan terkutuk. Dan ini dijustifikasikan
dengan hujah bahawa nafsu itu adalah semulajadi.
Sebagai seorang muslimah, saya berasa malu sekiranya watak sebegini
yang harus
dijadikan 'role-model'. Bagi saya, masyarakat kini sudah bijak menilai
buruk
dan baik dalam kehidupan, dan tidak mungkin mereka terpengaruh oleh
sebuah
filem.
Namun filem ini terus menampilkan imej stereotype fanatik agama yang
ingin
kita kikis dan menidakkan realiti bahawa masyarakat Islam kini semakin
progresif dan menyintai kedamaian.
Bukankah lebih baik jika pembuat filem cuba mengutarakan keindahan dan
kemurniaan Islam? Selain dari itu, filem ini nampaknya tidaklah mengupas
tentang persoalan identiti tetapi lebih kepada pergolakan nafsu.
Mungkin yang boleh kita pelajari dari filem ini, umat akan terus sesat
jika
gagal menghayati Islam. Dan manusia tidak akan beroleh ketenangan tanpa
iman
yang kukuh, walau apapun hujah yang ditegakkannya.
Sungguh mengecewakan kerana di saat kerajaan begitu giat membincangkan
isu
moral di sana sini, filem sebegini pula yang ditampilkan. Apakah kerajaan
akan
membiarkan filem ini ditayangkan atas hujah 'berfikiran terbuka' dan
'kebebasan berkarya' sedangkan pendapat umum dan penceramah
agama cuba dibisukan?
NURUL AIN ISMAIL
Ipoh, Perak.