Rahim mengaku pukul Anwar

 

Peguam Teh, mewakili Rahim Noor dikerumuni oleh pemberita.

KUALA LUMPUR: Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, isteri Dato' Seri Anwar Ibrahim di samping merasa lega bahawa 'orang yang memukul suaminya' telah mengaku, beliau menggesa supaya diadakan siasatan terhadap peranan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang ketika itu merangkap Menteri Dalam Negeri.

Kata Wan Azizah menteri bekenaan hendaklah disoal berhubung dengan peranannya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis.

Katanya, penyokong Anwar "ingin mengetahui hingga ke akar umbi perkara Anwar dipukul itu."

Tambah Wan Azizah "seluruh episod ketidakadilan itu telah mengejutkan rakyat."

Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang Suruhanjaya Bebas bersidang Ahad lalu.

Sebelum ini Anwar menafikan dakwaan bahawa dia (Anwar) dikatakan telah menghina bekas ketua polis negara. Rahim Noor telah meletakkan jawatannya Januari lalu selepas Peguam Negara mengumumkan bahawa polis terlibat menyebabkan kecederaan yang dialami Anwar semasa dia ditahan di lokap Bukit Aman September tahun lalu.

Pengakuan Rahim Noor dibuat oleh peguamnya, Teh Poh Teik kepada Suruhanjaya Penyiasat itu.

Teh menyoal Anwar dengan berkata bahawa "kamu telah membantah apabila polis datang hendak menangkap kamu. Kamu telah bertanya siapa yang perintah menangkap kamu. Kemudian kamu berkata "KPN anjing, anjing kerajaan" - itulah jawapan kamu," kata Teh.

Tetapi Anwar menafikannya dengan berkata "itu bukan jawapan saya," kataya.

Kemudian Teh mendakwa bahawa Anwar "selalu mengkritik polis" selepas dia dipecat oleh Mahathir pada 2 September lalu di tengah-tengah tuduhan yang berbagai dari salahlaku seks kepada tuduhan khianat.

Kata Anwar kecaman itu bukan bertujuan "menyerang pasukan polis" tetapi "terhadap perilaku sesetengah elemen dalam pasukan polis yang melakukan ugutan dan gangguan serta mungkin mendapat pengakuan daripada individu-individu bagi menuduh saya."

Mengenai memprovokasi Rahim, Anwar berkata dia terkejut dengan dakwaan itu. "Inilah kali pertama saya mendengar hal ini. Sebenarnya tiada sepatahpun kata yang diucapkan kecuali mendengar bunyi 'berdehem' dan lepas itu saya mengaduh kesakitan dengan menyebut 'Adui, ya Allah dan "Jangan pukul saya."

Teh berkata, "kamu memprovoknya (Rahim) dengan berkata "inilah bapa semua anjing." Teh menambah 'bila Rahim dengar kata-kata itu, dia hilang sabar, dan tidak dapat mengawal marahnya lalu memukul kamu. "Peristiwa ini berlaku begitu cepat, kemudian dia (Rahim) ditarik dari satu."

Bagaimanapun, Anwar menjawab: "Bukannya beberapa saat, tetapi beberapa minit."

Kemudian seorang ahli suruhanjaya bebas itu, bekas hakim mahkamah rayuan, Mahadev Shankar, menyoal Teh adakah Rahim mengakui memukul Anwar.

"Ya, itulah arahan daripada anak guam saya," jawap peguam tersebut.Minggu lalu, ketika memberi keterangan Anwar berkata dia mengenali bekas ketua polis negara itu dari bunyi 'dehem'nya ketika masuk ke lokap itu yang kemudiannya disahkan oleh pegawai-pegawai polis pangkat rendah bahawa Rahimlah yang memukulnmya.

Minggu lalu, Suruhanjaya juga mendengar keterangan bahawa pukulan itu boleh menyebabkan kematian. Keterangan ini dibuat oleh seorang pakar forensik kerajaan yang mendapati bahawa kecederaan di kepala dan leher Anwar adalah di tempat yang 'sangat berbahaya.'

AFP.

 

Laman Utama